Kerajaan Sabah beri keutamaan Jurutera Perunding Tempatan

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan kepada jurutera dan  perunding tempatan di Sabah untuk menjadi perunding kepada projek-projek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, negeri ini memiliki ramai jurutera dan firma perunding yang berkelayakan serta berkebolehan untuk menjadi perunding  kepada  mana -mana projek yang ditawarkan  Kerajaan Negeri dan Persekutuan  sekiranya mereka diberikan ruang dan peluang.

“Bagaimanapun kebanyakan projek-projek Kerajaan Persekutuan, firma perundingnya dilantik terus dari Semenanjung.

“Sekiranya projek yang dilaksanakan bermasalah atau berlaku kelewatan pelaksanaan, pihak jabatan atau agensi kerajaan negeri sebagai contoh Jabatan Kerja Raya  tidak dapat melakukan sebarang tindakan atau arahan kerana ianya dilantik terus oleh Kerajaan Pusat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Jurutera Perunding Malaysia Cawangan Sabah di pejabatnya di sini semalam.

Kunjungan tersebut diketuai oleh Pengerusi Jurutera Perunding Malaysia cawangan Sabah Ir Razalie Sindong dan disertai  Timbalan Pengerusi Ir Chin Shu Ying, Setiausaha kehormat Ir Benny Sing dan turut dihadiri bersama Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Hanafiah Datuk Seri Kassim.

Bung yang juga Menteri Kerja Raya  berkata, terdapat beberapa kes projek-projek Kerajaan Persekutuan  yang dilaksanakan di Sabah yang dimana  juru perundingnya  dilantik terus dari  Semananjung Malaysia  menghadapi masalah.

Katanya, ia termasuklah pembinaan jambatan di jalanraya By Pass Libaran Sandakan dimana struktur jambatan yang dibina runtuh sebanyak tiga  kali menyebabkan sehingga kini jalanraya tersebut tidak dapat digunakan.

“Kita tidak menafikan keupayaan jurutera atau juru perunding dari luar, tapi jika juru perunding tempatan kita lantik mereka lebih memahami struktur dan keadaan muka bumi di negeri ini dan jika berlaku sebarang masalah kita (kerajaan) khususnya Kementerian Kerja Raya dapat mengambil tindakan susulan  sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, Bung berkata, Kerajaan turut berdepan masalah khususnya kementerian beliau untuk melantik juru perunding tempatan disebabkan kementerian tersebut belum mendapat pengiktarafan sebagai jabatan yang bertuliah.

” Perkara ini sewajarnya tidak berlaku kerana JKR Sabah telah wujud sekian lama dan memiliki ratus jurutera yang bertuliah dan berpengalaman untuk mengendalikan sesuatu projek pembangunan.

“Perkara ini telah pun dibangkitkan kepada pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia dan pihaknya telah menerima surat pada awal Julai tahun ini untuk memulakan perbincangan libat urus bagi menjadikan JKR Sabah mendapat pengiktarafan sebagai jabatan yang bertuliah.

” Kita berharap hasil perbincangan ini positif  dimana dengan pentauliahan ini kita bukan sahaja diberikan kuasa memantau projek-projek persekutuan di negeri ini tapi diberikan kuasa untuk melantik juru perunding dan sudah tentu kita akan memberikan keutamaan kepada juru perunding tempatan,” katanya.

Oleh: Seybi Sabby