Impian raih pingat emas kejohanan dunia tercapai

KOTA KINABALU : “Ini yang saya nantikan sejak kecil lagi lebih-lebih lagi pada kejohanan diperingkat dunia,” kata Jezzevelle Myora Jerry,14.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Joseph Papar itu berjaya membawa pulang pingat emas IFMA Grandslam Dunia yang berlangsung di Sunway City Selangor pada awal Ogos lalu.

Katanya, meskipun berdepan cabaran dalam beberapa peringkat kejohanan namun ianya bukan halangan untuk melangkah ke peringkat akhir kejohanan.

“Secara peribadi saya berasa gembira dan terharu dengan kemenangan ini kerana usaha saya selama ini berbaloi dan berhasil.

Jezzevelle bersama barisan jurulatih, peserta dan pengerusi Kelab Tambuakar Muaythai Papar pada kejohanan itu

“Sudah tentu ini adalah kemenangan yang memang saya nanti-nantikan sejak kecil lagi terutama sekali di kejohanan dunia,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.

Jezzevelle berkata, dia telah mensasarkan untuk meraih pingat emas sebelum menyertai kejohanan berkenaan dan tetap berusaha untuk menang.

“Kalah atau menang itu adalah lumrah dalam pertandingan dan saya rasa bersyukur apabila kemenangan kali ini berpihak  kepada saya,” katanya.

Sementara itu, Jezzevelle berkata, dia akan terus berlatih bagi memperbaiki diri dan terus melakar kejayaan di setiap kejohanan yang disertai.

Katanya yang turut mengakui tidak berdepan masalah untuk membahagikan masa latihan dan persekolahan.

“Pembahagian masa latihan dan persekolahan sudah di susun atur oleh ibubpa saya, tidak menjadi masalah bagi saya.

“Penat itu biasa, tetapi sebab minat saya tetap kuatkan semangat dengan dorongan ibu bapa, sokongan kawan-kawan, guru serta jurulatih, saya bersyukur dapat memberikan komitmen di sekolah dan juga latihan,” katanya.

Terdahulu, Jezzevelle yang mewakili Kelab Tambuakar Muaythai Papar itu bersama tujuh lagi rakan lagi turut sama menyertai kejohanan berkenaan.

Selain Jezzevelle, kelab itu juga berjaya membawa pulang satu perak dan empat gangsa masing-masing dalam kejohanan IFMA World Grandslam dan IFMA Youth World Championship.