PBT Disaran Tingkat Pemantauan Peniaga Sempena Hari Raya

BEAUFORT: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan disaran meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti perniagaan di kawasan tumpuan menjelang Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan sedia ada.

 

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam, berkata peningkatan aktiviti perniagaan di pasar awam dan lokasi tumpuan orang ramai memberikan peluang kepada peniaga menambah pendapatan, namun aspek kebersihan dan kualiti produk perlu diberi perhatian serius.

 

“Kebersihan makanan dan kualiti jualan amat penting kerana ia berkait rapat dengan keselamatan serta kesihatan masyarakat,” kata beliau.

Beliau turut mengambil kira situasi peniaga kecil yang mungkin berniaga tanpa lesen, dengan menegaskan bahawa PBT boleh membuat pertimbangan sewajarnya, namun semua peniaga tetap wajib mematuhi peraturan supaya perniagaan berjalan dengan teratur.

 

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program sumbangan bubur lambuk dan majlis berbuka puasa bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort pada Isnin.

Ruslan, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, menekankan pentingnya penguatkuasaan tegas bagi memastikan undang-undang dipatuhi, terutamanya bagi melindungi keselamatan pegawai penguat kuasa ketika menjalankan tugas.

 

“Kerjasama bersepadu antara PBT, PDRM dan agensi penguatkuasa lain amat penting untuk memastikan penguatkuasaan berjalan lancar serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” tambah beliau.