
AHLI PBS DISERU KEKALKAN KESATUAN DAN PERSAHABATAN TANPA MENGIRA UMUR
KOTA KINABALU: Ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) diseru agar terus mengekalkan kesatuan dan persahabatan tanpa mengira umur.
Pemangku Presiden PBS, Joachim Gunsalam, berkata, persefahaman sesama ahli amat penting bagi membina sebuah organisasi parti yang kukuh, stabil dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa demi kepentingan rakyat serta negeri Sabah.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Perlawanan Persahabatan Bola Sepak di antara Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Exco Pemuda PBS, di Padang Sintetik JKR Putatan, pada Rabu.
Katanya, program itu merupakan satu inisiatif yang baik dalam usaha menyatu padukan kepimpinan parti, mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat kerja berpasukan sempena Sambutan Ulang Tahun PBS Kali Ke-41.
“Semangat kesukanan yang ditunjukkan hari ini jelas mencerminkan komitmen dan kebersamaan seluruh kepimpinan dalam memperkukuh perjuangan parti,” katanya.
Joachim berharap program seumpama ini akan terus dilaksanakan pada masa akan datang, sebagai platform memperkukuh hubungan antara generasi dalam parti, sekali gus memastikan perjuangan PBS terus relevan dan mantap demi masa depan Sabah.
Perlawanan tersebut menyaksikan Kumpulan A diketuai oleh John Masabal, manakala Kumpulan B diketuai oleh Stanis Buandi.
Seramai 46 orang terlibat dalam program tersebut yang terdiri daripada Exco Pemuda PBS, Ketua-Ketua Bahagian, AMT, Naib-Naib Presiden, serta barisan kepimpinan parti yang lain.
Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 3-3 dalam suasana penuh muhibah dan semangat persaudaraan.





