
Program Kebun Dapur bantu perkukuh ekonomi rakyat – Ruslan
BEAUFORT : Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) akan terus mempergiat pelaksanaan Program Kebun Dapur sebagai langkah memperkukuh ekonomi rakyat di peringkat akar umbi.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, program tersebut bertujuan menggalakkan penduduk memanfaatkan kawasan rumah untuk menanam sayur-sayuran, menternak dan aktiviti pertanian lain.
Menurut beliau, pendekatan itu bukan sahaja membantu mengurangkan kos sara hidup, malah membuka peluang kepada keluarga menjana pendapatan tambahan sekiranya hasil yang diperoleh melebihi keperluan harian.
“Kalau ada lebihan hasil, kita boleh pasarkan. Kita juga mempunyai pusat pengumpulan pertanian di Kampung Ulu Lingkungan yang boleh menjadi tempat mengumpul hasil pertanian dan perikanan sebelum dipasarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Penyampaian Sumbangan dan Berbuka Puasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan di sini pada Sabtu.
Majlis itu turut dihadiri Ahli Parlimen Sipitang Dtauk Matbali Musah.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, usaha itu juga selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya yang menjadikan sektor pertanian sebagai antara fokus utama dalam penggal kedua pentadbiran kerajaan negeri.
“Bagi rakyat khususnya usahawan yang memerlukan modal, kemudahan pembiayaan turut disediakan melalui Sabah Kredit Corporation tanpa memerlukan penjamin, selain pilihan pembiayaan daripada Agrobank tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya.
Ruslan berkata, program itu sebelum ini telah dilancarkan di Tuaran dan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dengan pelbagai model kebun dapur dipamerkan termasuk sistem ternakan ikan dan tanaman moden sebagai panduan kepada masyarakat.





