KOTA KINABALU – Penyanyi lagu Panorama Bayu, Apiz Paschya, memulakan langkah seni 2026 dengan single terbaru berjudul BISMILLAH, yang dijadualkan dilancarkan pada Jumaat, 13 Februari 2026 di YouTube.
Lagu ini kemudian akan diperluaskan ke Spotify, TikTok, Facebook, dan sedang dalam proses untuk siaran di radio tempatan serta seluruh Malaysia.
Melalui sesi interview, Apiz berkongsi bahawa lagu ini adalah buah tangan pertama beliau untuk tahun 2026 dan mengekalkan konsep muzik berunsurkan ketuhanan yang dekat dengan jiwanya.
“Single terbaru saya untuk tahun 2026 ini bertajuk BISMILLAH. Konsepnya masih sama, iaitu lagu berunsurkan ketuhanan,” kata Apiz.
BISMILLAH merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Nazri Saidali, manakala lirik ditulis oleh Mawar Kausar dari S Nazri Kausar Production.
Mesej lagu ini menekankan kebiasaan memulakan setiap urusan dengan lafaz Bismillah, memohon agar segala urusan dipermudahkan dan diberkati dalam kehidupan seharian.
Apiz turut menaruh harapan agar single terbarunya ini mendapat sambutan baik daripada semua pendengar muzik tempatan dan seluruh Malaysia.
“Semoga BISMILLAH mendapat tempat di hati semua peminat yang menanti buah tangan terbaru daripada saya,” ujarnya.


