
JKR Digesa Perkukuh Pemantauan Projek Pan Borneo Sabah
SANDAKAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa memperkukuh pemantauan terhadap kontraktor bagi memastikan semua projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dapat dilaksanakan dengan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, pemantauan lebih kerap termasuk pemeriksaan tapak perlu dilaksanakan bagi mengenal pasti punca sebenar kelewatan projek.
Menurut beliau, kelewatan boleh berpunca sama ada daripada prestasi kontraktor atau isu utiliti yang masih belum diselesaikan seperti pemindahan paip air, bekalan elektrik serta infrastruktur lain.
Beliau berkata demikian kepada media sempena lawatan kerja di sini, pada Isnin.
“Sekiranya kelewatan berpunca daripada isu utiliti, saya bersedia memberi arahan kepada pihak kementerian untuk bekerja dengan lebih keras serta bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan dan agensi berkaitan bagi menyelesaikan masalah tersebut dengan segera.
Katanya, ini selaras dengan prinsip bahawa kerajaan negeri perlu beroperasi sebagai satu pasukan, dan mengambil kira hakikat bahawa semua pihak berada di bawah satu kerajaan dan dalam negeri yang sama.
Joachim turut menegaskan bahawa JKR perlu sentiasa memantau kerja-kerja kontraktor, membuat semakan berkala dan memastikan semua skop kerja dilaksanakan mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Jika kontraktor gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, kita terpaksa mengambil tindakan yang sewajarnya,” tegas beliau.
Selain itu, beliau menyeru pemimpin masyarakat dan wakil rakyat tempatan agar membantu memberi penjelasan kepada penduduk, khususnya berkaitan isu pengambilan tanah dan premis bagi tujuan pembinaan jalan, supaya pelaksanaan projek dapat berjalan dengan lebih lancar.
Mengulas mengenai Pakej Kerja 26 Projek Lebuhraya Pan Borneo, Joachim memaklumkan bahawa pakej tersebut mengalami kelewatan ketara, dengan keadaan jalan sedia ada semakin merosot akibat beberapa faktor, antaranya penamatan konsesi penyelenggaraan terdahulu, kelewatan oleh kontraktor baharu, isu utiliti serta masalah perumahan dan tanah yang masih belum diselesaikan.
Sementara itu, beliau berkata Pakej Kerja 24 dan 25 hanya mencatatkan kelewatan kecil yang masih berada pada tahap boleh diterima, namun tetap memerlukan pemantauan rapi bagi mengelakkan masalah sama berulang di lokasi lain.





