Ruslan Muharam Terima Gelaran Tertinggi Janang Gayuh

BEAUFORT: Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS), Datuk Ruslan Muharam, dimasyhurkan dengan gelaran Janang Gayuh, iaitu pengiktirafan tertinggi persatuan berkenaan, sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan kepimpinan beliau dalam memperjuangkan kepentingan masyarakat Bisaya.

Penganugerahan itu disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, pada satu majlis khas yang berlangsung di sini, Sabtu.

Ruslan berkata, penerimaan gelaran berkenaan merupakan satu penghormatan besar yang hadir hasil proses penilaian menyeluruh dan berterusan terhadap khidmat bakti beliau kepada masyarakat, khususnya etnik Bisaya.

Beliau turut menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan, sambil menjelaskan bahawa gelaran Janang Gayuh tidak dianugerahkan secara automatik meskipun beliau telah memegang jawatan Presiden PBBS selama empat tahun.

Menurutnya, setiap calon perlu melalui tempoh penilaian sekurang-kurangnya satu penggal selama tiga tahun, melibatkan penilaian kepimpinan, sumbangan serta penerimaan masyarakat Bisaya.

“Penilaian ini dibuat secara menyeluruh oleh kepimpinan dan masyarakat Bisaya bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak dipertimbangkan,” katanya.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan berkata, pencalonan tersebut kemudiannya dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan PBBS sebelum diperhalusi di peringkat Majlis Tertinggi.

Majlis Tertinggi seterusnya menubuhkan sebuah panel khas bagi menilai pencalonan itu secara terperinci, termasuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berkepentingan.

“Selepas panel berpuas hati dengan penilaian yang dibuat, barulah pelantikan Janang Gayuh ini dimuktamadkan dan direalisasikan,” katanya.

Beliau menegaskan, proses berperingkat dan telus itu mencerminkan komitmen masyarakat Bisaya dalam memelihara nilai, integriti serta kewibawaan gelaran tertinggi tersebut.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Isnin Aliasnih serta Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching.