
Penganjur Hargai Sumbangan Penderma, 14 Berjaya Menderma Darah di Tenghilan
TENGHILAN: Pihak penganjur program derma darah menghargai sumbangan para penderma budiman yang telah tampil menjayakan Program Derma Darah yang berlangsung di Dewan SRA Tenghilan, di sini, kelmarin, sekali gus membantu usaha menstabilkan bekalan darah hospital.
Menurut jurucakap program, Daulin Gutak, seramai 26 orang mendaftar sebagai penderma, namun hanya 14 orang berjaya menderma darah selepas melalui proses saringan kesihatan yang ditetapkan.
“Daripada jumlah tersebut, dua orang dikenal pasti sebagai penderma kali pertama, manakala seorang lagi direkodkan sebagai penderma terbanyak,” katanya.
Program yang dianjurkan bersama oleh Persatuan Pesara Kerajaan Sabah (PPKS) dan Pergerakan Pemuda PBS Bahagian N.14 Tamparuli itu bertujuan memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menderma darah serta memastikan bekalan darah hospital sentiasa mencukupi.
Turut hadir memberi sokongan kepada penganjuran program berkenaan ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Dr Bonaventure Boniface, yang menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu usaha murni berasaskan komuniti yang wajar diteruskan.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda PBS Bahagian N.14 Tamparuli, Rizkam Wenddy Yabin, berkata, walaupun jumlah penderma yang berjaya menderma masih sederhana, pihak penganjur berpuas hati dengan komitmen serta semangat kesukarelawanan yang ditunjukkan oleh para peserta.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penderma, sukarelawan dan pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program ini, sambil berharap penganjuran seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan yang lebih menggalakkan.





