KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I Sabah merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, menerima kunjungan hormat daripada kepimpinan tertinggi Parti Liberal Demokratik (LDP) di pejabat beliau, sini, pada Isnin.
Rombongan LDP diketuai oleh Timbalan Presidennya, Datuk Yong Wui Chung.
Turut hadir Setiausaha Agung LDP, YB Datuk Chin Shu Ying; Naib Presiden David Ong, Sim Fui dan Jacky Chin; Ketua Biro Infrastruktur dan Utiliti LDP, Peggy Liow; Ketua Penerangan Pusat, Nicholas Ban, dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT), Kelvin Chai.
Tujuan utama kunjungan adalah bagi menyampaikan jemputan rasmi kepada Joachim untuk menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran LDP yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Selain itu, pertemuan tersebut turut dimanfaatkan sebagai platform perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai isu-isu semasa berkaitan pembangunan serta penyelenggaraan infrastruktur, khususnya yang melibatkan kawasan sekitar Kota Kinabalu.
Antara perkara yang disentuh termasuk keperluan penambahbaikan kemudahan asas serta usaha berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh sistem utiliti bagi menjamin keselesaan dan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Joachim, yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) menyambut baik kunjungan tersebut serta menghargai pandangan dan maklum balas yang dikemukakan, selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama parti-parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pertemuan berkenaan berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif, mencerminkan semangat perpaduan serta kerjasama erat antara kepimpinan politik demi memastikan agenda pembangunan negeri Sabah dapat dilaksanakan secara berkesan dan inklusif.






