Papar Tuan Rumah Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026

KOTA KINABALU: Mesyuarat pertama Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 menetapkan Daerah Papar sebagai tuan rumah Pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, pada 1 Mei nanti.

 

Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, di Bilik Mesyuarat KKRU Sabah, hari ini.

 

Mesyuarat tersebut bertujuan membincangkan persiapan dan perancangan awal bagi acara tahunan terbesar negeri ini, yang disambut sepanjang bulan Mei nanti.

 

Turut hadir ialah Pembantu Menteri I, Datuk Limus Jury; Setiausaha Tetap KKRU Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus; Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun; Bendahari KDCA, Datuk Joseph Paulus Lantip; pegawai-pegawai daerah, ketua-ketua jabatan, serta ahli jawatankuasa penganjur lain.

 

Menurut Joachim, perayaan Kaamatan menjadi platform penting untuk memelihara budaya dan adat resam masyarakat Sabah, selain mengukuhkan perpaduan serta semangat komuniti seluruh negeri.

 

Beliau menekankan bahawa Kaamatan bukan sahaja medan meraikan hasil tuaian, tetapi juga simbol keharmonian dan kekayaan budaya Sabah yang dijaga daripada generasi ke generasi.