
SABAH DINOBAT PASUKAN TERBAIK NEGERI KEJOHANAN MEMANAH TERBUKA GURU-GURU KEBANGSAAN 2026
KOTA KINABALU | Kontinjen Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Pasukan Terbaik Negeri dalam Kejohanan Memanah Terbuka Guru-Guru Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung pada 17 dan 18 Januari lalu di Lapangan Sasar Memanah Gadek, di sini.
Kejohanan berprestij itu telah dirasmikan oleh YB Datuk VP Shanmugam a/l V. Pitchay, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek merangkap EXCO Belia dan NGO Melaka, dan dianjurkan oleh Meltra (Persatuan Memanah Tradisional Melaka) dengan kerjasama Sekolah Rendah Arab JAIM Merlimau Pasir.
Seramai 18 orang peserta mewakili Negeri Sabah, terdiri daripada guru-guru serta kakitangan pendidikan dari pelbagai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negeri. Kontinjen Sabah menyertai semua kategori yang dipertandingkan melibatkan Memanah Tradisional, Barebow dan Recurve bagi kategori lelaki dan wanita.
Pasukan Sabah diketuai oleh Ketua Kontinjen, Cikgu Syukri Hj Moktar dari SMK Gadong, PPD Beaufort, manakala Ketua Pengurus Pasukan ialah Cikgu Safri Tim dari SMK Inanam, PPD Kota Kinabalu.
Turut menggalas tanggungjawab pengurusan ialah Ustaz Muhammad Amir Ridwan Zaidi (Pengurus Pasukan 1), Cikgu Jali Suntang (Pengurus Pasukan 2) serta Ustaz Sharudin Shazli Mat Rayah sebagai Pengurus Teknikal.
Sepanjang kejohanan, kontinjen Sabah mempamerkan prestasi cemerlang apabila berjaya meraih pingat emas, perak dan gangsa dalam pelbagai kategori termasuk Recurve Wanita, Recurve Lelaki, Barebow, Tradisional serta Acara Berpasukan Campuran (Mix Team Event).
Antara pencapaian tertinggi ialah kejayaan Harmawati Binti Maka dari SMK Pinawantai, Kudat yang merangkul pingat emas Recurve Wanita bagi pusingan kelayakan dan kalah singkir, selain turut menyumbang pingat emas Acara Berpasukan Campuran. Kejayaan tersebut mencerminkan dominasi serta konsistensi atlet Sabah di peringkat kebangsaan.
Menurut Ketua Kontinjen Sabah, Cikgu Syukri Hj Moktar, kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara atlet dan barisan pengurusan serta sokongan berterusan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
“Penyertaan dalam kejohanan ini memberikan pengalaman yang sangat bermakna kepada seluruh kontinjen Sabah. Kejayaan meraih pelbagai pingat serta Anugerah Pasukan Terbaik Negeri membuktikan komitmen tinggi, disiplin dan semangat juang luar biasa yang ditunjukkan oleh para atlet dan pengurusan pasukan,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian tersebut bukan sahaja mengharumkan nama Sabah, malah menjadi pemangkin semangat kepada warga pendidik untuk terus aktif dalam bidang sukan, khususnya sukan sunnah memanah.
“Kami berharap sukan memanah merangkumi kategori Tradisional, Barebow, Recurve dan Compound dapat dimasukkan sebagai antara sukan utama dalam Kejohanan PSKPP Negeri Sabah, MSKPPM serta MAKSAK bermula tahun 2026,” ujarnya.
Setinggi-tinggi penghargaan turut dizahirkan kepada YB Datuk Matbali bin Hj Musah, YB Datuk Hj Ruslan bin Muharam, Pengarah Pendidikan JPN Sabah Datuk Hj Raisin bin Saidin, serta semua pihak pengurusan pendidikan negeri dan daerah atas sokongan berterusan.





