Joachim Wakili Ketua Menteri Dalam Upacara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang Di Petagas

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, hari ini mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam Upacara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang di Petagas yang berlangsung di Tugu Peringatan Petagas, Jalan Putatan, pagi tadi.

Joachim, yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, tiba di Tugu Peringatan Petagas pada jam 8.30 pagi dan menerima tabik hormat daripada 11 kontinjen unit beruniform sejurus ketibaan beliau di Taman Peringatan Petagas.

Istiadat peringatan tersebut turut melibatkan acara tiupan “Last Post” dan sesi bertafakur bagi mengenang mangsa-mangsa perang yang gugur.

Beliau kemudiannya mendahului upacara meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Petagas, bersama-sama beberapa lagi pemimpin yang hadir, disusuli dengan tiupan “Rouse”, sebelum tabik hormat dan acara bergambar sebagai penutup program.

Sebanyak 11 kontinjen yang hadir terdiri daripada pasukan keselamatan, agensi kerajaan serta badan beruniform, termasuk Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sekali gus melambangkan semangat perpaduan dan penghargaan terhadap sejarah perjuangan negara.

Upacara penuh istiadat itu diadakan sebagai tanda penghormatan serta mengenang jasa dan pengorbanan para wira negara yang telah terkorban demi mempertahankan kedaulatan dan keamanan tanah air.

Untuk rekod, Upacara Memperingati Mangsa-Mangsa Perang Petagas diadakan setiap 21 Januari bagi mendoakan kesejahteraan roh para pejuang Gerila Kinabalu yang terkorban dalam pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Jepun pada 21 Januari 1944 di Petagas.

Tugu Peringatan Petagas merupakan lokasi pembunuhan dan perkuburan ahli-ahli pasukan penentang tentera Jepun yang dikenali sebagai Gerila Kinabalu, terdiri daripada pemuda-pemuda pelbagai kaum di Sabah (North Borneo) seramai 324 orang, yang dipimpin oleh Albert Kwok.

Program seumpama ini jelas mencerminkan komitmen Kerajaan Sabah dalam memperingati peristiwa bersejarah sebagai simbol penghargaan kepada jasa pejuang terdahulu, di samping usaha berterusan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.