PBBS Jadikan Pemerkasaan Belia Teras Kepimpinan Baharu

BEAUFORT: Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) memberi penekanan kepada pemerkasaan belia sebagai teras utama kepimpinan baharu persatuan itu bagi memastikan kesinambungan perjuangan dan pembangunan masyarakat Bisaya pada masa hadapan.

 

Presiden PBBS Datuk Ruslan Muharam berkata, penyertaan ramai muka baharu daripada kalangan anak muda dalam barisan kepimpinan sesi 2025–2028 membuktikan komitmen PBBS dalam melahirkan pemimpin pelapis yang berdaya saing dan berwawasan.

 

Katanya, golongan belia akan dibimbing secara berperingkat agar memahami struktur kepimpinan, pengurusan persatuan serta keperluan sebenar masyarakat Bisaya di peringkat akar umbi.

 

“PBBS bukan sekadar platform pertubuhan, tetapi medan melatih anak muda supaya bersedia memimpin dan menyumbang secara aktif kepada pembangunan komuniti,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan barisan kepimpinan PBBS sesi 2025-2028 di sini pada Sabtu.

 

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, selain pembangunan kepimpinan, belia juga akan digalakkan terlibat dalam aktiviti kebudayaan, keusahawanan dan pelancongan komuniti, termasuk pengurusan homestay, persembahan seni tradisional serta promosi produk tempatan.

 

Katanya, usaha itu dijangka dapat membuka peluang ekonomi baharu kepada belia Bisaya di samping memelihara identiti dan warisan masyarakat tersebut agar terus kekal relevan dalam arus pembangunan negeri Sabah.

 

Dalam pada itu, Ruslan berkata, PBBS turut merangka pelbagai inisiatif keusahawanan sebagai langkah memperkasa ekonomi masyarakat Bisaya, selaras dengan hala tuju kepimpinan baharu persatuan itu bagi sesi 2025–2028.

 

Katanya, penglibatan pemimpin yang mempunyai latar belakang keusahawanan diyakini mampu merancakkan aktiviti ekonomi komuniti, khususnya melalui pembangunan produk tempatan dan pelancongan berasaskan budaya.