
Lebih 1,000 mangsa terjejas banjir terima bakul makanan
BEAUFORT : Lebih 1,000 mangsa banjir melibatkan dua zon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan menerima bantuan bakul makanan, dalam usaha meringankan beban mereka yang terjejas akibat banjir yang berlaku baru-baru ini.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, bantuan yang disalurkan itu melibatkan penerima di Zon Bangkalalak dan Zon Suasa.
Katanya bantuan yang disalurkan melalui pejabat daerah itu adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap mangsa banjir.
“Harapan kami, sedikit sumbangan ini dapat mengurangkan kesukaran mangsa, sama ada mereka yang berpindah atau kekal di rumah masing-masing.
“Ini terutama bagi mereka yang menghadapi cabaran mendapatkan sumber kewangan atau hasil pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan bakul makanan di sini pada Rabu.
Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah.
Ditanya mengenai gelombang kedua banjir di negeri ini, Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pihak berkaitan telah bersiap sedia termasuk penyaluran bantuan di beberapa zon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.
Antara zon yang belum menerima bantuan termasuklah Padas Damit, Kebajang, Gadong, Lupak, Padas Valley, Beaufort Selatan dan Bukau.
“Kami menasihatkan rakyat supaya sentiasa bersedia dengan stok makanan dan keperluan harian, terutamanya apabila anak-anak sudah kembali ke sekolah selepas banjir,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ruslan berkata, pihak NADMA telah membuka pendaftaran melalui imbasan QR untuk mangsa banjir termasuk yang berpindah mahupun tidak, bagi memastikan bantuan kerajaan persekutuan turut disalurkan secara tepat.
“Berdasarkan rekod setakat ini, seramai 600 orang berada di pusat pemindahan sementara, manakala lebih 7,000 orang lagi tercatat di luar pusat-pusat berkenaan,” katanya.





