Banjir Makin Surut, Keselamatan Penduduk Tetap Jadi Keutamaan – Matbali

SIPITANG :Situasi banjir di daerah Beaufort dilaporkan makin surut apabila paras air mula menurun, namun pusat pemindahan kekal (PPK) masih dibuka khususnya di PPK Selagon yang menempatkan mangsa banjir.

 

Datuk Matbali Musah, Pengerusi Lembaga Koko Malaysia merangkap Ahli Parlimen P178 Sipitang, berkata PPK tersebut turut menempatkan mangsa banjir dari kawasan Beaufort dan sekitarnya yang terjejas akibat banjir, katanya ketika ditemui dalam Forum Anjung At-Taqwa @ SabahFM di Masjid Imam Haji Awang Hashim, Pekan Sipitang.

 

“Syukur Alhamdulillah, banjir makin surut. Namun PPK masih dibuka, khususnya di PPK Selagon dan melibatkan mangsa banjir dari kawasan Beaufort,” kata Matbali.

 

Walaupun paras air makin surut, kawasan rendah seperti Bangkalalak, Mentulud dan beberapa kawasan di bahagian bawah masih berisiko kerana aliran air banjir lazimnya tertumpu selepas hujan berterusan, tambah beliau.

 

Penduduk dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada, dengan keselamatan penduduk menjadi keutamaan, tegas Matbali.

 

Keprihatinan kerajaan dalam pengurusan bencana banjir, termasuk pembukaan PPK serta bantuan kebajikan, turut dihargai.

 

Bagi langkah jangka panjang, Matbali menekankan bahawa usaha memperjuangkan pembinaan projek tebatan banjir perlu diteruskan khususnya di kawasan Beaufort yang rendah dan berhampiran Sungai Padas bagi mengurangkan risiko banjir.

 

Selain kawasan pekan, projek tebatan banjir juga perlu dilaksanakan di kampung-kampung berhampiran Sungai Padas, termasuk kawasan yang dikenal pasti mengalami hakisan seperti Kampung Tuhu Lupak.