Sektor pertanian, penternakan terjejas teruk akibat banjir di Beaufort

BEAUFORT: Banjir yang melanda daerah ini sejak beberapa hari lalu memberi kesan buruk terhadap sektor pertanian dan penternakan apabila ramai petani mengalami kerugian besar akibat tanaman musnah dan ternakan mati.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam, hampir 10,000 petani secara keseluruhan dilaporkan terjejas apabila sawah padi, tanaman buah-buahan dan tanaman makanan ditenggelami air.

“Di kawasan yang sering dilanda banjir, tanaman mati akibat air bertakung dan ternakan pula tidak mampu bertahan dengan keadaan sejuk serta berpanjangan.

“Ini jelas menjejaskan pendapatan petani dan keselamatan makanan di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan menyerahkan bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir di sini pada Rabu.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, selain kerosakan hasil pertanian, ramai penternak turut mengalami kematian ternakan seperti kambing dan ayam, manakala kolam ternakan turut rosak akibat banjir.

Sehubungan itu, para petani dan penternak disaran melaporkan kerosakan kepada Pegawai Pertanian Daerah bagi tujuan pemeriksaan dan penilaian sebelum laporan dihantar ke peringkat negeri dan kementerian untuk tindakan lanjut.

Katanya, langkah pelaporan yang lengkap dan tepat amat penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar terjejas, serta membantu pemulihan sektor pertanian dan penternakan selepas bencana.

“Kerugian akibat banjir ini dianggarkan mencecah jutaan ringgit, termasuk kehilangan hasil tanaman, kematian ternakan serta kerosakan harta benda.

“Bantuan segera amat diperlukan bagi meringankan beban petani dan penternak,” katanya.