
Kerajaan Perkukuh Kolaborasi Agensi Bagi Eksport Hasil Pertanian
SIPITANG: Kerajaan akan memperkukuh kerjasama dan kolaborasi antara agensi-agensi berkaitan bagi memperluaskan pemasaran hasil pertanian tempatan ke peringkat lebih luas termasuk pasaran antarabangsa.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industi Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, langkah itu penting bagi membantu para pekebun kecil dan pengusaha pertanian tempatan, khususnya di Sabah memasarkan hasil pertanian mereka.
Katanya, ia juga sebagai langkah agar pada pekebun atau pengusaha tidak berdepan masalah lambakan ketika musim puncak.
“Kita melihat keperluan untuk menggerakkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan di bawah kementerian supaya hasil-hasil pertanian dapat dipasarkan dengan lebih sistematik dan berkesan, termasuk ke luar negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Mari Makan Durian di daerah ini di sini pada Jumaat.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, usaha ini merangkumi perancangan pemasaran, penambahbaikan rantaian bekalan serta pematuhan piawaian yang diperlukan bagi menembusi pasaran eksport.
Katanya, inisiatif tersebut diharap dapat memberi keyakinan kepada para pekebun kecil dimana hasil pertanian mereka mempunyai nilai pasaran yang stabil dan berpotensi menjana pendapatan yang lebih baik.
“Selain durian, buah-buahan tempatan lain seperti nanas, nangka, kelapa pandan dan avokado turut dikenal pasti sebagai antara komoditi yang berpotensi untuk dikembangkan ke pasaran luar.
“Sehubungan itu, kerajaan komited untuk terus menyokong sektor pertanian melalui pendekatan bersepadu bersama agensi berkaitan demi memastikan kebajikan pekebun kecil terpelihara serta industri pertanian negara terus berkembang secara mampan,” katanya.





