
Tiga Dewan Terbuka Baharu Dirancang di Lumadan Tahun Hadapan
BEAUFORT : Usaha memperkukuh kemudahan asas komuniti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan akan diteruskan dengan perancangan pembinaan tiga dewan terbuka baharu pada tahun hadapan.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam berkata, pembinaan itu merupakan sebahagian daripada perancangan penggal kedua bagi memastikan setiap kampung mempunyai prasarana mencukupi untuk kegunaan masyarakat setempat.
“Tiga lokasi yang telah dikenal pasti untuk dewan baharu ini ialah Gerama, Kepawa dan Bawang Tengah Batandok. Projek ini dijangka bermula pada bulan April tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pecah tanah pembinaan Dewan Tamu Desa Kampung Bangkalalak di sini pada Selasa.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, setiap dewan akan dibina mengikut keluasan tapak yang ada, dengan saiz standard 115 kaki panjang dan 60 kaki lebar, manakala tapak yang lebih kecil akan menyesuaikan saiz 50 hingga 80 kaki panjang.
“Dewan ini bukan sahaja untuk aktiviti komuniti, malah boleh digunakan untuk sukan, riadah dan program belia.
“Setiap kampung akan mempunyai kemudahan yang dekat dan selesa untuk kegunaan penduduk,” katanya.
Menurut beliau, pembinaan dewan terbuka secara berperingkat ini adalah usaha berterusan kerajaan negeri untuk memenuhi keperluan rakyat.
Selain itu katanya, ia juga dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar, dan menyediakan ruang selamat bagi pelbagai program sosial serta ekonomi.





