Sipitang Berpotensi Lahirkan Atlet Memanah Bertaraf Antarabangsa – Matbali

BEAUFORT: Sipitang dikenal pasti sebagai antara daerah yang mempunyai potensi besar untuk melahirkan atlet memanah bertaraf antarabangsa, sekali gus membuktikan bahawa bakat tempatan mampu menyerlah di pentas dunia dengan sokongan dan latihan berterusan.

Ahli Parlimen P178 Sipitang merangkap Pengerusi Lembaga Koko Malaysia, Datuk Matbali Musah, berkata demikian ketika berucap di majlis ini sempena Makan Malam Santai bagi meraikan peserta dan petugas Pertandingan Memanah Tradisional dan Moden Tertutup Kakitangan Pendidikan Negeri Sabah Tahun 2025 yang berlangsung di The Gem Hotel, Beaufort.

Matbali berkata, penganjuran majlis tersebut bukan sekadar jamuan, sebaliknya merupakan tanda penghargaan dan ucapan terima kasih atas komitmen, kerjasama serta semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam menjayakan pertandingan berkenaan.

Menurutnya, sukan memanah sama ada tradisional mahupun moden bukan sahaja menguji ketepatan dan kemahiran fizikal, malah berperanan membentuk fokus, kesabaran, disiplin diri serta kekuatan mental dalam kalangan peserta.

Matbali menegaskan bahawa nilai-nilai yang diterapkan melalui sukan berkenaan amat bertepatan dengan peranan warga pendidik dalam membentuk generasi berakhlak, berdaya saing dan berintegriti selaras dengan aspirasi pembangunan pendidikan negara.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan rasa bangga terhadap kejayaan atlet memanah tempatan dari Sipitang yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sebagai contoh, katanya, Rohayati Tarip dan Ismail Jumat berjaya meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Memanah European Traditional Open (ETO) 2023 di Jerman, sekali gus menjadi inspirasi kepada pemanah muda serta seluruh warga pendidikan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa dengan sokongan berterusan, latihan yang konsisten dan semangat juang yang tinggi, anak tempatan mampu berdiri sama tinggi di pentas dunia,” katanya.

Matbali berharap agar pertandingan dan program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform mencungkil bakat baharu, mengeratkan silaturahim serta memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga pendidikan.

Menurutnya lagi, semangat perpaduan, kerjasama dan kecintaan terhadap sukan memanah perlu terus diperkukuh agar sukan tersebut dapat berkembang secara mampan di negeri Sabah amnya dan di Sipitang khususnya.

Majlis berkenaan diakhiri dengan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, dengan harapan segala usaha dan sumbangan yang dicurahkan mendapat ganjaran serta keberkatan.