Sukan Memanah Perkukuh Silaturahim, Tingkatkan Kecergasan Minda Warga Pendidik

BEAUFORT: Sukan memanah dilihat berperanan penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta meningkatkan kecergasan minda dalam kalangan warga pendidik, khususnya melalui penganjuran pertandingan yang bersifat inklusif dan berunsur sukan warisan.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, penglibatan warga pendidik dalam aktiviti sukan seperti memanah bukan sahaja memberi manfaat dari aspek fizikal, malah membantu membentuk disiplin diri, fokus dan ketenangan mental.

Menurut beliau, sukan memanah memerlukan tahap konsentrasi yang tinggi serta kawalan emosi, sekali gus menjadi medium terbaik untuk merehatkan minda daripada rutin tugas harian dalam bidang pendidikan.

“Selain aspek kesihatan, pertandingan sebegini turut menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara warga pendidik dari pelbagai daerah, seterusnya mewujudkan semangat kebersamaan dan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Memanah Tradisional dan Moden Tertutup Kakitangan Pendidikan Negeri Sabah 2025 di Kolej Vokasional Beaufort di sini pada Sabtu

Beliau turut menjelaskan bahawa interaksi melalui aktiviti sukan dapat memupuk nilai kesukanan, saling menghormati serta kerjasama yang positif dalam kalangan peserta.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, penganjuran sukan memanah juga dilihat mampu memperkenalkan dan memartabatkan sukan tradisional kepada generasi muda, sekali gus menyumbang kepada pembentukan jati diri dan pemeliharaan warisan budaya.

Beliau berharap agar lebih banyak program seumpama ini dapat dianjurkan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan untuk melahirkan warga pendidik yang seimbang dari segi fizikal, mental dan sosial.