
Lebih 300 Golongan B40 Terima Sumbangan Program Sentuhan Kasih Krismas di Lumadan
BEAUFORT: Seramai lebih 300 golongan B40 yang meraikan sambutan Krismas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan menerima sumbangan hamper dan barangan keperluan dapur menerusi Program Sentuhan Kasih yang diadakan bagi meringankan beban rakyat sempena musim perayaan.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, program berkenaan turut melibatkan penyampaian sumbangan kepada gereja-gereja serta pemimpin komuniti setempat yang menyambut Krismas pada tahun ini.
Katanya, ia adalah sebagai tanda keprihatinan dan kebersamaan dengan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Menurutnya, program tersebut bertujuan memastikan rakyat sentiasa disantuni sama ada ketika senang mahupun susah, khususnya dalam meraikan perayaan penting seperti Krismas.
“Kita telah menyediakan barangan keperluan bagi membantu mereka menyambut Krismas dengan lebih bermakna. Sumbangan ini mungkin tidak besar, namun ia melambangkan kehadiran kita bersama rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan sempena Program Sentuhan Kasih dan Penyampaian Sumbangan Kepada Gereja DUN Lumadan di sini pada Ahad.
Hadir sama Ahli Parlimen Sipitang Dtauk Matbali Musah.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, program itu telah memasuki tahun keenam penganjurannya dan dilaksanakan secara konsisten setiap tahun, bukan hanya ketika menjelang pilihan raya, sebaliknya sebagai komitmen berterusan untuk mendekati dan membantu rakyat.
Katanya, sebanyak RM20,000 diperuntukkan bagi menjayakan program berkenaan, termasuk sumbangan khusus kepada keluarga dan kanak-kanak yang terlibat.
Ruslan turut menegaskan bahawa penganjuran program seumpama itu mencerminkan keunikan Sabah yang sentiasa meraikan kepelbagaian budaya dan agama, apabila pelbagai perayaan seperti Krismas, Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri disambut bersama dalam suasana harmoni.





