
PBBS Perkasa Peranan Belia, Angkat Masyarakat Bisaya ke Peringkat Lebih Luas
BEAUFORT: Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) menyasarkan untuk membawa etnik itu ke persada yang lebih luas melalui penglibatan aktif dalam pelbagai program di peringkat nasional dan antarabangsa, khususnya menerusi penyertaan golongan muda.
Presidennya,Datuk Ruslan Muharam berkata, usaha tersebut akan digerakkan melalui kepimpinan baharu PBBS bagi sesi 2025–2028 yang bakal dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PBBS kali ke-33.
Menurut beliau, penglibatan anak-anak muda amat penting dalam memperkukuhkan peranan persatuan agar lebih relevan dengan perubahan dunia masa kini yang menuntut kreativiti, inovasi dan tahap pendidikan yang tinggi.
“Kita mahu melihat lebih ramai anak muda Bisaya terlibat dalam persatuan ini bukan sahaja untuk menyumbang dalam bidang pendidikan, malah dalam aspek perpaduan dan pembangunan masyarakat.
“Mereka inilah yang akan membawa nama masyarakat Bisaya ke tahap yang lebih jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan MAT dan Pemilihan PBBS Kali Ke-33 bagi sesi 2025–2028 yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Bisaya di sini pada Ahad.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah berkata, sebelum ini ramai anak muda Bisaya telah berjaya mewakili persatuan dalam pelbagai pertandingan dan program, sekali gus membuktikan potensi besar golongan tersebut untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Beliau turut menegaskan bahawa PBBS akan terus memperkukuhkan jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak serta menggalakkan penyertaan cawangan-cawangan persatuan dari seluruh Sabah bagi memastikan masyarakat Bisaya terus bersatu dan maju.
Dalam masa yang sama, Ruslan berkata, PBBS juga merancang untuk memperkenalkan bantuan pendidikan kepada pelajar Bisaya yang cemerlang dalam peperiksaan SPM dan STPM, selain mereka yang mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan universiti sebagai galakan melahirkan generasi berilmu.





