Ruslan Komited Perkukuh Sektor Makanan di Sabah

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Ruslan Muharam memberi komitmen penuh beliau untuk memperkukuh sektor pertanian, perikanan serta industri makanan negeri sebagai antara teras penting pembangunan ekonomi dan keterjaminan makanan rakyat.

Beliau berkata, amanah yang dipikul akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi memastikan sektor berkenaan terus berkembang secara mampan, sekali gus memberi manfaat langsung kepada para petani, nelayan serta pengusaha industri makanan di seluruh Sabah.

“Saya memulakan amanah ini dengan tekad dan komitmen penuh untuk memperkukuh sektor pertanian, perikanan dan industri makanan negeri demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebooknya selepas memulakan tugas di kementerian itu di sini pada Isnin.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, usaha berterusan akan digerakkan melalui kerjasama erat antara pengurusan tertinggi kementerian serta agensi pelaksana bagi memastikan agenda pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan di peringkat akar umbi.

Katanya, pengukuhan sektor makanan negeri penting dalam menghadapi cabaran semasa termasuk isu kos sara hidup, bekalan makanan, perubahan iklim serta keperluan meningkatkan produktiviti sektor pertanian dan perikanan.

“Insya-Allah, saya akan memberi komitmen terbaik dalam meneruskan agenda pembangunan untuk manfaat rakyat Sabah,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Kementerian akan terus memperkasa dasar serta inisiatif yang memberi impak langsung kepada pengeluaran makanan tempatan bagi memastikan Sabah kekal berdaya saing dan mempunyai tahap keterjaminan makanan yang kukuh.