
Dewan Kampung Maraba bakal jadi nadi aktiviti komuniti
BEAUFORT : Impian penduduk Kampung Maraba untuk memiliki sebuah dewan yang baharu akhirnya menjadi kenyataan apabila majlis pecah tanah projek berkenaan disempurnakan pada Selasa.
Dewan baharu yang bakal didirikan di atas tanah seluas 3.5 ekar itu mempunyai keluasan 160 kaki panjang dan 100 kaki lebar, selain turut dilengkapi empat gerai peniaga bagi memberi ruang niaga kepada penduduk tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam berkata, pembinaan dewan itu adalah sebagai menggantikan Dewan Maraba lama yang terpaksa dirobohkan susulan jajaran projek Lebuhraya Pan Borneo.
“Perbincangan bersama Borneo Samudera dan sokongan penuh Ketua Menteri Sabah telah membolehkan tapak baharu diluluskan untuk Kampung Maraba.
“Walaupun projek ini sedikit lewat akibat isu tanah, peruntukan serta faktor cuaca, Alhamdulillah hari ini kita dapat memulakan kerja-kerja awalan termasuk pecah tanah,” katanya.
Beliau berkata projek bernilai lebih RM1 juta itu dijangka siap hujung tahun ini bergantung kepada keadaan cuaca.
“Dewan terbuka ini akan memberi manfaat besar kepada komuniti khususnya anak muda untuk menganjurkan aktiviti kemasyarakatan, riadah dan sukan seperti badminton serta sepak takraw.
“Selain itu, kewujudan empat gerai akan memberi peluang kepada peniaga kecil tempatan memasarkan hasil buah-buahan terutama nanas, serta hasil tangkapan laut.
“Lokasi dewan yang strategik di tepi laluan utama juga bakal menjadi tumpuan pengguna jalan raya untuk singgah,” katanya.
Ruslan turut menegaskan, inisiatif ini berjaya direalisasikan hasil desakan kepada pihak kontraktor Pan Borneo agar menyegerakan bayaran pampasan, sekali gus membolehkan pejabat daerah melantik kontraktor bagi memulakan pembinaan.
“Insya-Allah, dengan adanya dewan ini Kampung Maraba dan kawasan sekitarnya akan lebih berkembang sebagai pusat kegiatan masyarakat dan ekonomi,” tambahnya.





