
AmanahRaya Perkasa Kesedaran Rancang Harta Pusaka Melalui Program Hari Bersama Pelanggan
KOTA KINABALU: Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan merancang harta pusaka sejak awal perlu terus diperkasa bagi mengelakkan masalah harta tidak dapat diwarisi dan dimanfaatkan oleh waris.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, inisiatif AmanahRaya menganjurkan Program Hari Bersama Pelanggan dilihat sebagai platform terbaik bagi orang ramai mendapatkan khidmat nasihat secara langsung mengenai instrumen perancangan harta seperti Wasiat, Hibah dan Amanah.
Katanya, program itu turut menampilkan pelbagai aktiviti antaranya sesi khidmat nasihat, pengiraan faraid, serta penerangan mengenai produk-produk pewarisan yang mampu membantu keluarga merancang masa depan dengan lebih teratur.
Menurutnya, penganjuran kali ini adalah bersempena dengan Kempen Bina Legasi AmanahRaya 2025 yang berlangsung bermula 1 Ogos hingga 31 September 2025 di seluruh negara.
“Bertepatan dengan sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia, kempen ini menekankan mesej bahawa merancang pewarisan harta adalah sebahagian daripada amanah kepada keluarga dan negara.
“Saya yakin melalui kerjasama erat bersama agensi kerajaan dan pihak swasta, tahap kesedaran masyarakat mengenai pengurusan harta pusaka dapat ditingkatkan sekali gus mengurangkan masalah harta beku.
“Perancangan harta yang baik bukan sahaja memastikan legasi keluarga dapat diwariskan dengan adil, malah turut menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
Beliau menyeru orang ramai agar merebut peluang sepanjang program ini untuk mendapatkan maklumat, bertanya soalan dan memanfaatkan perkhidmatan yang disediakan.





