Lebih 500 penduduk DUN Klias dan Lumadan Terima geran tanah

Beaufort: Seramai 572 penduduk dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan DUN Lumadan menerima geran tanah melibatkan kawasan lebih 1,500 ekar.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, penyerahan geran ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh hak pemilikan tanah rakyat di peringkat akar umbi.

“Dengan pemilikan tersebut, rakyat bukan sahaja berpeluang memajukan dan mengusahakan tanah mereka untuk kegiatan ekonomi, tetapi juga memastikan aset berharga itu dapat diwarisi generasi akan datang.

“Pemilikan tanah ini memberi jaminan masa depan kepada rakyat sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi daerah dan negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyerahan Geran Tanah, Majlis Pelancaran Pelan Strategik Daerah Beaufort 2025 – 2035 dan Majlis Pecah Tanah Beaufort City Mall bagi mewakili Ketua Menteri di sini pada Rabu.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran Pelan Strategik Pembangunan Daerah Beaufort 2025–2035, yang dirangka Institut Pembangunan Sabah (IDS) bersama Pejabat Daerah.

Ruslan berkata, pelan ini menjadi panduan utama pembangunan inklusif Beaufort untuk tempoh 10 tahun, seiring dengan aspirasi kerajaan negeri.

Selain itu, turut diumumkan pembangunan Beaufort City Mall yang akan dibina di atas kawasan seluas 27 ekar menerusi empat fasa.

Beliau berkata, projek berimpak tinggi itu dijangka menjadi pemangkin ekonomi setempat, membuka peluang pekerjaan dan mengangkat Beaufort sebagai hab perniagaan pedalaman yang mampu bersaing dengan Kota Kinabalu.

“Dengan adanya pelan strategik serta pembangunan Beaufort City Mall, daerah ini berpotensi muncul sebagai pusat pertumbuhan baharu yang maju dan sejahtera,” katanya.