
Kerajaan terus komited bela rakyat di peringkat akar umbi

Beaufort : Kerajaan Sabah terus memberi komitmen dalam memastikan pembelaan rakyat di peringkat akar umbi sentiasa diberi perhatian.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, agenda pembangunan yang menitikberatkan keseimbangan kemajuan antara bandar dan luar bandar turut diperkasa melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan.
“Pemberian geran tanah di daerah ini membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat di luar bandar menikmati kesejahteraan dan jaminan hak milik tanah.
“Untuk itu, kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) terus komited dan memberi keutamaan permohonan tanah rakyat. Sebagai kerajaan yang prihatin, kita mahu melihat hidup rakyat kita sentiasa terjamin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan geran tanah, pelancaran pelan strategik pembangunan daerah beaufort 2025-2035 dan perasmian pembangunan Beaufort City Mall di Dewan Pa Musa di sini pada Rabu.
Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam.
Hadir sama Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Isnin Aliasneh.
Hajiji berkata, pemberian geran tanah itu juga adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk memastikan hak-hak rakyat, khususnya dalam aspek pemilikan tanah dapat dipenuhi dengan adil dan saksama.
Katanya, sebagai sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai sumber semula jadi dan budaya, Sabah perlu terus maju dengan memberi ruang kepada masyarakat untuk berkembang secara lestari dalam segala aspek kehidupan.
“Geran tanah yang diserahkan pada hari ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri untuk memperkasakan rakyat dalam memiliki tanah yang bukan sahaja sebagai tempat berteduh, tetapi sebagai aset yang boleh meningkatkan taraf hidup dan memberi peluang kepada pembangunan ekonomi peribadi dan komuniti.
“Melalui pemilikan tanah, para penerima dapat menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi, seperti pertanian, pelancongan, dan perniagaan yang secara langsung memberi impak positif kepada keluarga dan masyarakat setempat.
“Inilah cara kita membantu rakyat di negeri ini, termasuklah di Daerah Beaufort. Dan agenda pembangunan yang berteraskan kebajikan rakyat ini akan terus kita perjuangkan dalam semua inisiatif pembangunan yang dilaksanakan selepas ini,” katanya.
Hajiji turut menyeru kepada semua penerima geran tanah supaya mengusahakan sebaik mungkin tanah-tanah yang diberikan agar ia boleh memberikan hasil terbaik kepada keluarga masing-masing.