Padas Damit bakal berwajah baru dengan pembinaan 8 unit kedai dan 12 gerai baharu

Beaufort: Padas Damit di sini bakal berwajah baharu apabila projek pembangunan lapan unit kedai sosio ekonomi dan 12 unit gerai baharu dibangunkan dan dimulakan secara rasmi.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, projek bernilai RM4.3 juta di atas tanah seluas dua ekar itu dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi Padas Damit sebagai sebuah pekan baharu di kawasan Lumadan.

“Menariknya, tanah bagi pembangunan tersebut adalah hasil wakaf oleh penduduk tempatan yang membolehkan projek ini direalisasikan dengan cepat.

“Pembinaan kedai dan gerai ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera memiliki aset sendiri.

“Pada masa sama, ia menyediakan ruang selesa untuk peniaga dan pelancong, sekali gus menaikkan imej Padas Damit, Lumadan dan Beaufort keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena majlis pecah tanah cadangan pembinaan kedai sosio ekonomi Kampung Padas Damit di sini pada Khamis.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, selain nilai ekonomi, kawasan Padas Damit turut mempunyai sejarah tersendiri apabila pernah menjadi pusat pentadbiran melalui laluan sungai sebelum adanya jalan raya ke Beaufort.

Malah katanya, ia juga mencatatkan sejarah peperangan yang memperlihatkan keberanian seorang wanita pahlawan tempatan yang gugur di medan perjuangan.

“Dengan warisan sejarah ini, sudah tentu Padas Damit wajar dinaik taraf menjadi pekan baharu di DUN Lumadan,” katanya.

Dalam pada itu, Ruslan berkata, sempena dengan program penyerahan geran tanah pada 27 Ogos ini, hampir 1,000 ekar tanah di Padas Damit akan diberikan geran milik kepada penduduk setempat.

Katanya, ia adalah seiring dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dimana kawasan ini berpotensi dijadikan ladang padi komersial selain sesuai untuk tanaman kelapa serta ternakan udang.

“Potensi tanaman padi di kawasan ini sahaja boleh mencecah 10,000 ekar.

“Jika diterokai secara komersial dengan penglibatan pelabur luar dan tempatan, ia bukan sahaja membuka peluang pekerjaan malah menyumbang kepada keterjaminan makanan Sabah,” katanya.