Lebih 1,000 Kanak-kanak sertai Simulasi Haji Cilik edisi ke-8

Kota Kinabalu : Seramai lebih 1,000 kanak-kanak di seluruh Sabah berpeluang menyertai Simulasi Haji Cilik edisi kelapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.

Majlis itu disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Penganjuran program itu dilihat mampu memberi pendedahan awal kepada kumpulan sasar mengenai ibadah haji.

Hajiji dalam ucapannya berkata, program itu merupakan simbolik kepada kebersamaan komuniti dalam mendidik anak-anak kecil tentang erti pengorbanan.

“Saya ingin menyatakan betapa terkesannya saya apabila melihat anak-anak kecil kita yang berpakaian ihram, melafazkan talbiah, dan menelusuri manasik Haji dengan penuh semangat.

“Inilah bukti bahawa pendidikan yang dimulakan dengan penuh kasih saying dan bimbingan yang berterusan akan membentuk akhlak mulia dan kecintaan kepada agama yang mendalam,” katanya.

Penganjuran itu juga disifatkan platform integrasi kepada sistem pendidikan formal dan penghayatan agama dalam bentuk praktikal

Program itu turut mendapat kerjasama antara komuniti, institusi pendidikan dan agensi Kerajaan.

Selain itu, program itu turut sedia diperluas ke seluruh daerah dan kawasan di negeri ini agar kumpulan sasar dapat merasai pengalaman.