
30 Belia sertai Kursus Asas Penulisan, Video dan Gambar

Beaufort : Seramai 30 peserta terdiri dari kalangan belia di daerah ini menyertai Kursus Asas Penulisan, Video dan Gambar yang diadakan di sini baru-baru ini.
Kursus anjuran Penerangan Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Lumadan itu dirasmikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam.
Kursus yang diadakan itu merupakan kesinambungan kepada Program Kem Kepimpinan Pergerakan Pemuda PBS Bahagian Lumadan yang telah diadakan pada 13 hingga 15 Jun lalu.
Ruslan berkata, pihaknya melihat potensi besar dalam kalangan pemuda yang mempunyai semangat tinggi, namun masih perlu digilap dengan ilmu dan bimbingan teknikal yang betul.
“Kita berada dalam era di mana media sosial bukan lagi pilihan, tetapi keperluan. Pergerakan, pertubuhan dan organisasi masa kini berlumba-lumba memanfaatkan kekuatan digital untuk menyampaikan mesej, membina pengaruh dan mencorak persepsi.
“Melalui kursus ini, kita bukan sahaja memperkukuh kemahiran asas seperti penulisan, mengambar dan penghasilan video, tetapi turut membuka ruang kepada peserta memahami penggunaan teknologi terkini seperti AI (kecerdasan buatan) dalam penghasilan kandungan media yang lebih kreatif, efisien dan kompetitif,” katanya.
Justeru beliau yakun dengan semangat, dedikasi dan kemahiran yang betul, golongan belia mampu bersaing secara sihat, bahkan tampil sebagai pencetus perubahan dalam dunia komunikasi digital.
“Tahniah dan syabas kepada semua peserta dan urus setia yang menjayakan program ini. Semoga ilmu yang diperoleh hari ini menjadi batu loncatan kepada lebih banyak kejayaan di masa depan,” katanya.