Inisiatif salur bantuan kepada mangsa banjir adalah usaha bersama semua pihak – Ruslan

Kota Kinabalu: Inisiatif dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa terjejas banjir khususnya di daerah Beaufort merupakan usaha bersama dan berterusan pelbagai pihak yang tidak bergantung kepada satu pihak sahaja.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, ini termasuklah usaha yang dilaksanakan Amanah Raya Berhad yang melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) AmanahRaya Care.

Katanya, menerusi program itu, Amanah Raya Berhad telah menyampaikan sumbangan zakat wakalah dan bakul makanan kepada golongan yang terjejas akibat banjir besar di daerah Beaufort.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Amanah Raya berhad di mana ketika rakyat kita dalam kesusahan, Amanah Raya telah pun tampil untuk memberi sumbangan kepada mereka yang terjejas banjir walaupun tidak pada keseluruhannya.

“Tetapi kita sangat bersyukur kerana dapat membantu dalam keadaan yang agak luar biasa banjir yang kita alami dalam seminggu yang lepas dan ketika ini pun di peringkat kampung masih ada paras air yang belum boleh dilalui.

“Sudah tentu dengan adanya sumbangan ini kita telah menyasarkan kepada asnaf ataupun golongan B40 memang di kalangan yang sangat-sangat mengharapkan sumbangan berkenaan dan tambah lagi dalam kita menunaikan ibadah puasa dan kita akan berada di bulan Syawal tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program CSR Amanah Raya Care Rezeki Ramadan Beaufort di sini semalam.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, sumbangan itu juga dapat mengurangkan bebanan mangsa terjejas banjir.

“Insya Allah kerjasama bersama Amanah Raya Berhad ini bukan pertama kali dan tidak silap lebih kurang dalam tiga kali kita telah melaksanakan kerjasama bersama.

“Selain dana daripada Amanah Raya, kita juga telah menggerakkan bantuan segera melalui inisiatif sentuhan kasih. Ketika banjir melanda, kita terpaksa menggunakan dewan sekolah dan masjid sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) kerana fasiliti sedia ada tidak mencukupi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa penyediaan bantuan seperti makanan dan keperluan asas memerlukan tindakan pantas, termasuk menyewa kenderaan berat untuk menghantar bekalan ke kawasan yang masih digenangi air.

“Banyak kawasan yang tidak dapat diakses oleh kenderaan kecil, jadi kita terpaksa menyewa kenderaan tinggi bagi memastikan bekalan sampai kepada mereka yang terjejas. Ini membuktikan betapa pentingnya pengurusan bantuan yang cekap dan pantas,” tambahnya.

Program AmanahRaya Care kali ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu masyarakat yang memerlukan, khususnya dalam situasi kecemasan seperti banjir.