Sekolah baharu, BBP dicadang dibina di kawasan tapak perkampungan baharu di DUN Lumadan

Beaufort : Dua buah sekolah baharu melibatkan sekolah menengah dan sekolah rendah selain Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di cadang untuk dibina di kawasan pembangunan perkampungan baharu seluas 285 ekar yang diluluskan Kerajaan Negeri.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, pembinaan sekolah menengah baharu itu di cadang dibina diatas tanah seluas 50 ekar di Kampung Padas Damit.

Selain itu katanya, sekolah rendah yang dirancang dibina di tanah seluas 17 ekar dan BBP melibatkan lima ekar itu adalah bagi memastikan kemudahan asas tersedia untuk penduduk setempat.

“Hari ini, saya bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Beaufort dan beberapa pegawai dari agensi kerajaan serta pemimpin setempat turun padang meninjau beberapa tapak cadangan pembinaan sekolah serta kerja-kerja pembinaan sekolah di kawasan Lumadan.

“Lawatan ini bertujuan memastikan infrastruktur pendidikan terus diperkasa demi masa depan anak-anak kita. Salah satu fokus utama lawatan ini adalah tapak cadangan bagi sebuah sekolah menengah baharu di Kampung Padas Damit.

“Kita juga merancang pembinaan sebuah sekolah rendah dan sebuah balai bomba bagi memastikan kemudahan asas tersedia untuk penduduk setempat,” katanya.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pihaknya sedar isu banjir sering melanda SK Lago dan SK Suasa mengakibatkan murid di sekolah berkenaan terpaksa cuti sekolah.

Katanya, ia memberi kesan besar kepada pelajaran mereka kerana banyak sesi pembelajaran terganggu.

“Oleh itu, satu cadangan telah diketengahkan untuk membina sebuah sekolah baharu di kawasan yang lebih tinggi dan selamat daripada banjir, agar pendidikan anak-anak kita tidak lagi terjejas.

“Justeru saya merayu kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar mengambil tindakan sewajarnya supaya kerja-kerja pembinaan ini dapat disiapkan segera.

“Anak-anak kita berhak mendapat akses pendidikan yang selamat dan berkualiti tanpa gangguan. Pendidikan adalah asas pembangunan masyarakat dan masa depan mereka tidak boleh dikompromi,” katanya.