Ruslan bantu Muhammad Aidil kembali ke sekolah Isnin ini

Beaufort : Seorang pelajar dari Kampung Nabahan Weston di sini akan kembali semula ke sekolah bermula Isnin ini selepas berhenti sekolah tanpa menamatkan Tingkatan Tiga tahun lalu.

Pelajar terbabit yang dikenali sebagai Muhammad Aidil terbuka untuk kembali ke sekolah selepas dipujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam di rumahnya di simi semalam.

“Hari ini (semalam) saya datang ke rumah Aidil di Kampung Nabahan untuk memujuk beliau supaya kembali ke sekolah di mana beliau telah pun berhenti sekolah dan tidak menghabiskan tingkatan tiga tahun lalu.

“Apabila saya datang ke rumah beliau, berbincang dengan ibu bapa pelajar ini, Alhamdulillah pelajar ini telah pun dapat di pujuk untuk melanjutkan pelajaran di tingkatan empat pada tahun ini,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berkunjung ke rumah pelajar berkenaan di Kampung Nabahan di sini semalam.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, berikutan kekangan kewangan yang dialami keluarganya, beliau turut berusaha membantu pelajar berkenaan untuk membeli pakaian dan bayaran sekolah dan keperluan laon termasuk perbelanjaan harian sekolah pelajar berkenaan.

“Saya mahu melihat pelajar ini dapat meneruskan pelajaran, sekurang-kurangnya tingkatan lima dan selepas itu kita cuba usaha juga untuk dia dapat meneruskan sampai ke peringkat diploma atau universiti.

“Dalam pendidikan ini kita lihat boleh membela nasib mereka supaya masa depan yang lebih terjamin sebab kalau kita hanya berharap pada nelayan ini pendapatan pun tidak tentu dan masa depan yang kurang jelas. Kalau ada pendidikan kita banyak ruang peluang untuk masa depan lebih cerah,” katanya.