
Majlis graduasi rai kejayaan pelajar, beri motivasi dalam tingkatkan kesediaan diri dari aspek psikologi

Beaufort : Penganjuran majlis graduasi bagi meraikan kejayaan pelajar mampu memberi motivasi, perangsang dan ingatan agar pelajar dapat meningkatkan kesediaan diri dari aspek psikologi di samping kesediaan intelek untuk mencapai keputusan yang cemerlang.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, keputusan cemerlang yang diperoleh dalam peperiksaan adalah sangat penting sebagai platform untuk meneruskan hasrat menuntut ilmu ke peringkat yang lebih tinggi.
“Anda masih muda. perjalanan untuk memburu kecemerlangan akademik, masih jauh dan terbentang luas di hadapan. Justeru, usah persia kesempatan yang ada.
“Justeru, berbekalkan sijil graduasi yang anda terima, serta iringan doa dan harapan daripada ibu bapa dan guru-guru serta rakan-rakan, saya yakin anda akan menjadi insan yang cemerlang pada masa hadapan, sejajar dengan matlamat sekolah dan aspirasi kerajaan untuk melahirkan modal insan yang mempunyai pemikiran kelas pertama demi kesejahteraan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Tahun Enam Sekolah Agama Negeri (SAN) Daerah Sipitang di sini semalam.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, penguasaan ilmu- ilmu moden seperti sains dan teknologi dalam kalangan rakyat akan dapat meningkat daya saing negara di peringkat global.
Katanya, menyedari akan kepentingan penguasaan ilmu-ilmu itu di peringkat sekolah, maka para pelajar adalah antara golongan yang sangat diharapkan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang ini.
“Namun, penekanan dalam kedua-dua bidang ini Sahaja adalah masih tidak memadai.
“Justeru, aspek pembangunan sahsiah diri dan kecerdasan kerohanian mesti diberi keutaman.
“Rasionalnya, pakej tiga dalam satu ini adalah bertujuan untuk menjadikan anda sebagai insan yang seimbang dan dapat memenuhi antara tuntutan dunia dan akhirat agar anda dapat mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan kecemerlangan di akhirat,” katanya.