Cadangan naikkan elaun JKKK diangkat ke kabinet Sabah

Beaufort : Cadangan menaikkan elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di setiap daerah di negeri ini telah diangkat ke Kabinet negeri Sabah.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, cadangan itu disifatkan relevan dan sesuai dengan cadangan ekonomi semasa.

Katanya, cadangan menaikkan elaun JKKK itu wajar dipertimbangkan memandangkan mereka memainkan peranan penting dalam melaksanakan tugasan dan tangungjawab diperingkat akar umbi.

“InsyaAllah kita di peringkat Kerajaan negeri telah pun mencadangkan supaya elaun JKKK ini dinaikkan kepada nilai yang akan ditetapkan ataupun dipersetujui di peringkat mesyuarat kabinet dan insya Allah akan diluluskan di peringkat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti.

“Memandangkan kadar saguhati RM500 itu pada hari ini sudah agak jauh ketinggalan nilai harga barang dan sebagainya, jadi perlulah kita di peringkat kerajaan menimbang semula elaun mereka sebab tugas dan tanggungjawab mereka juga adalah penting di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelantikan pengerusi JKKK sesi 2025/26 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan di sini baru-baru ini.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berharap kesemua yang dilantik dapat melaksanakan tanggungjawab dengan Amanah dan mempamerkan sifat kepimpinan terbaik.

“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu, kita telah berpindah kali keempat akibat banjir, dan peranan JKKK sangat penting dalam memastikan keselamatan penduduk, terutama dalam memberikan maklumat awal dan membantu proses pemindahan.

“Saya menegaskan kepada mereka bahawa keselamatan rakyat harus diutamakan, tindakan perlu diambil segera sebelum keadaan menjadi lebih buruk. Saya mahu melihat JKKK yang lebih proaktif, lebih cakna, dan lebih berkesan dalam menyampaikan maklumat serta membantu masyarakat. Jangan hanya menunggu arahan, tetapi bertindak dengan cepat dan bijak,” katanya.