Ibu Bapa Manfaatkan Peluang Cuti Sekolah Sertai Program Khatan Perdana 2025 Untuk Anak-Anak

Kota Kinabalu: Golongan ibu bapa memanfaatkan peluang musim cuti persekolahan bagi menyertai program khatan perdana 2025 untuk anak mereka khususnya di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.

Program anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) itu disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam.

Ruslan ketika ditemui berkata, seramai lebih 150 kanak-kanak terdiri dari golongan mualaf, asnaf dan anak-anak kakitangan agensi terlibat menyertai program yang berlangsung di Masjid Negeri Sabah.

Katanya, program anjuran bersama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS);Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) dan beberapa agensi lain itu turut memberi ruang dan peluang kepada mereka yang memerlukan untuk mendapatkan perkhidmatan dengan lebih selesa.

“Pada hari ini kita telah pun mengadakan satu majlis program khatan perdana 2025 dan seramai 150 anak-anak telah pun mendaftarkan diri untuk berkhatan dan di kalangan mereka ini adalah saudara-saudara baru dan juga mualaf, golongan B40 dan juga anak-anak kakitangan kerajaan.

“Saya lihat semangat mereka memang sangat tinggi untuk di khatankan dan ibu bapa mereka juga merasakan gembira apabila anak-anak mereka dikhatankan, ibu bapa telah pun menunaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa untuk mengkhatankan anak-anak mereka.

“Khatan ini juga adalah menjadi satu kewajipan kita sebagai orang Islam dan bukan sahaja dalam Islam itu sendiri, tetapi dalam segi kebersihan rohani dan jasmani itu adalah sangat dekat Islam itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ruslan berkata, pihaknya turut mencadangkan agar program seumpama itu dapat dilaksanakan dua kali dalam setahun.

“Mungkin kita akan memperkasakan lagi progranm ini untuk melaksanakan dalam setahun dua kali. Sebab bila kita lihat program kita hari ini hanya 150 peserta.

“Jadi sudah tentu di luar sana ramai lagi yang berkeinginan untuk mendapatkan perkhidmatan ini,” katanya.