
Orang ramai dinasihat utamakan keselamatan ketika meraikan sambutan Tahun Baharu Cina

Beaufort : Orang ramai khususnya mereka yang bakal meraikan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini diingatkan untuk sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya dan rumah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, ia termasuklah memastikan kenderaan dalam keadaan selamat dan tidak memandu secara berbahaya serta kekal berwaspada.
“Sudah tentu dalam kita meraikan perayaan, kita perlu juga berwaspada terutama sekali kepada pemandu-pemandu kenderaan yang datang daripada jauh, yang balik kampung, balik ke daerah masing-masing.
“Setiap tahun akan ada menziarahi keluarga dan balik kampung dan sebagainya itu adalah menjadi satu kebiasaan. Tapi dalam masa yang sama kita perlu menjaga keselamatan dalam perjalanan kita supaya orang yang kita sayangi akan dapat merasakan kehadiran kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan mesra sempena Tahun Baharu Cina 2025 di sekitar Pekan Beaufort Selatan di sini semalam.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata turut meminta agar ibu bapa dapat memastika keselamatan anak-anak dan keluarga dapat dijaga khususnya ketika musim banjir.
Terdahulu, Ruslan berkata, program yang diadakan itu adalah sebagai platform untuk merayakan Tahun Baharu Cina yang akan diraikan bersama dengan masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
“Walkabout ini adalah untuk bertemu dengan masyarakat Tionghua dengan membawa buah tangan limau mandarin, ini sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan kepada masyarakat Tionghua di atas sumbangan pembangunan sosial dan ekonomi di kawasan ini sekali gus kita dapat mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.
“Walkabout ini juga dapat menyebabkan maklumat dan inisiatif kerajaan yang memberi manfaat seperti PERKESO yang bersama kita. Dengan Walkabout ini juga dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara kaum terus harmoni dan bertambah erat melalui pelbagai perayaan seperti tahun baru Cina, hari raya Aidilfitri dan lain lain,” katanya.