Kerajaan Sabah komited ambil langkah signifikan perkasa sektor pendidikan – Ruslan

Beaufort : Kerajaan Negeri Sabah telah mengambil langkah-langkah signifikan untuk memperkasa sektor Pendidikan di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, menerusi pembentangan Belanjawan Sabah 2025, kerajaan negeri telah memperkenalkan dua bantuan baru untuk institusi pendidikan dan pelajar di negeri ini.

Katanya, ia adalah untuk memperkasa bidang pendidikan disamping mengekalkan bantuan yang sedia ada.

“Usaha ini jelas membuktikan bahawa kerajaan negeri memberikan komitmen yang tinggi dalam memperkasa bidang pendidikan melalui pelbagai inisiatif yang menyeluruh.

“Antara inisiatif Kerajaan yang dikekalkan adalah Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) yang menyediakan komputer kepada pelajar yang memerlukan dan Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI) untuk pelajar yang menghadapi peperiksaan utama,

“Selain itu, Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) bagi membantu pelajar menyimpan untuk pendidikan masa depan dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) yang mengiktiraf pelajar cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bentuka di sini baru-baru ini.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, bantuan baru yang telah diperkenalkan pada tahun ini adalah Sumbangan kepada Mahasiswa IPT Dalam Sabah (SENTOSA) sebanyak RM300 kepada mahasiswa IPT dalam Sabah.

Katanya, selain itu Kerajaan turut menyalurkan Sumbangan Kegiatan Sekolah Sabah (SUKSES) yang dibayar sekali sebanyak RM3,000 kepada 1,500 buah sekolah di Sabah untuk tujuan membiayai program sekolah.

“Saya berharap agar pihak pentadbiran dan komuniti di sekolah ini mengambil tindakan dan peluang ini untuk menambahbaik keperluan sekolah demi kepentingan para pelajar,” katanya.