Semangat kebersamaan sambut pelbagai perayaan bukti Sabah negeri unik

Beaufort : Semangat kebersamaan dan saling hormat menghormati dalam menyambut pelbagai perayaan di negeri ini membuktikan Sabah sebuah negeri yang unik.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam berkata, ia termasuklah perayaan Hari Natal.

“Sambutan perayaan hari Natal juga saya melihat dari sudut kekeluargaan yang harmoni, dimana ada keluarga yang satu rumah berbeza pegangan agama dan tetap meraikan kebersamaan pelbagai perayaan termasuklah hari Natal.

“Semangat kebersamaan dan saling hormat menghormati ini membuat kita khasnya rakyat di negeri Sabah menjadi unik kerana apa sahaja sambutan atau perayaan kita bersama meraikan dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Natal dan Tahun Baru peringkat Kampung Binunuk di perkarangan rumah Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini semalam.

Pada sambutan itu, pelbagai pengisian turut diadakan seperti pertandingan bola sepak bola kanak-kanak dan pertandingan bola tampar,.

Meskipun dalam keadaan hujan semangat pasukan yang menyertai pertandingan bola tampar tetap diteruskan.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, acara sukan yang diadakan turut memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk beriadah.

“Melalui acara sukan, mereka dapat beriadah seterusnya salah satu usaha untuk menjaga kesihatan badan kita selain daripada memupuk perpaduan dan sebagainya dan inilah antara yang kita dapat lihat dalam kita meraihkan Hari Natal,” katanya.