Penyelenggaraan sungai bantu selamatkan hasil tanaman penduduk

Beaufort : Penyelenggaraan Sungai Api-Api di Kampung Bukau di sini yang dilaksanakan secara berfasa sejak 2020 berjaya menyelamatkan hasil tanaman penduduk terutama ketika banjir.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, penyelenggaraan sejauh 3.5 kilometer telah dilaksanakan bagi fasa pertama dan 3.6 kilometer lagi disiapkan bagi fasa kedua pada tahun ini.

“Sungai ini diselenggara dan pembersihan dilaksanakan dimana ini sangat memberi kesan yang positif apabila kita mulakan pada penghujung tahun 2020 yang lalu.

“Sungai ini perlu diselenggarakan , sekiranya tidak diselenggarakan dalam dua atau tiga tahun mengakibatkan tertutup semula Sungai Api Api dan akan menyekat aliran air yang turun daripada sungai Padas Vally, Lumadan, Batu 6 1/2, Bukau, Lingkungan, Maraba dan Inuman.

“Ini adalah salah satu saluran sungai api api untuk terus mengalir ke sungai Weston dan ke dasar laut,” katanya ketika mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, penyelenggaraan itu juga turut mempercepatkan aliran air apabila berlaku banjkir.

Katanya, ia juga salah satu usaha kerajaan kini melalui Jabatan Pengairan dan Saliran yang memastikan isu-isu yang timbul bekerjasama dengan pejabat wakil rakyat untuk menyelesaikan masalah rakyat hadapi.

“Semoga kerja-kerja penyelenggaraan Sungai Api-Api ini berjalan dengan lancar dan sempurna serta kerjasama daripada semua pihak dalam usaha menangani isu-isu yang di hadapi oleh rakyat akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” katanya.