Rakyat diajak untuk bersatu, berganding bahu sebagai keluarga Malaysia

Beaufort: Rakyat di negeri ini diajak untuk bersatu dan berganding bahu sebagai sebuah keluarga Malaysia cintakan tanah air yang aman damai dan harmoni.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, ia penting bagi mempertahankan perpaduan dan keamanan yang dikecapi negara.

Katanya, dalam masa sama rakyat khususnya generasi muda juga wajar menghayati sejarah dan pengorbanan pejuang negara.

“Kita di peringkat pemimpin bila ada program seumpama ini, ada ruang dan peluang sebagai satu platform kita menyampaikan maklumat, dasar-dasar kerajaan dan juga kemajuan-kemajuan yang telah kita capai khususnya di Lumadan, seperti di kampung Lubuk ini.

“Kita juga mengenang jasa-jasa pejuang-pejuang kita dalam kita menyambut kemerdekaan. Tanpa pengorbanan mereka rakyat tidak dpt menikmati suasana makmur ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan program Jiwa Madani @ Merdeka di Kampung Lubuk Weston di sini.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan menyambut baik penganjuran program yang mendedahkan masyarakat setempat mengenai erti kemerdekaan.

“Kita telah melihat melalui program ini ia mempunyai kerjasama yang baik dengan program gotong royong, pembersihan tanah perkuburan, perkarangan masjid dan juga diisi dengan program ceramah, iaitu yang bertajuk perpaduan dan juga kibar Jalur Gemilang dan juga fungsi nadi.

“Ini adalah sangat penting diberi pendedahan kepada masyarakat kita kerana mungkin ada juga sebahagian masyarakat kita tidak begitu mengetahui tentang tata susila atau cara kita memasang bendera dan juga fungsi nadi itu sendiri,” katanya.