
Ruslan cadang majukan tanah untuk penanaman padi di Kg Kangsa

Beaufort : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam bercadang untuk memajukan tanah seluas 100 ekar di Kampung Kangsa di sini bagi tujuan penanaman padi.
Katanya, cadangan bagi menanam padi moden 4.0 itu adalah selari dengan perkembangan revolusi Perindustrian yang bertujuan bagi membantu pihak berkepentingan.
“Ia termasuklah petani, pentadbiran dan semua entiti di dalam bidang ekosistem atau industri pertanian agar saling bekerjasama bagi meningkatkan lagi kualiti dan kuantiti penanaman serta pengeluaran hasil ke tahap optimum.
“Dan pada hari ini saya telah membawa pemaju daripada Syarikat Borneo Farming Sdn Bhd bagi melawat tapak penanaman padi di Kampun Kangsa. Pejabat ADUN Lumadan bekerjasama dengan syarikat pemaju bagi mengenal pasti pemilik tanah untuk bersama memajukan kawasan ini dengan penanaman padi moden,” katanya.
Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, sekiranya cadangan cadangan itu mendapat kerjasama daripada semua pihak, beliau yakin ianya akan dapat memberikan manfaat kepada semua yang terlibat.
Katanya, ini sekali gus industri pertanian negara akan menjadi maju ke hadapan di samping meningkatkan hasil pertanian ke arah pertanian mampan dan jaminan keselamatan makanan lestari.
“Walaupun ini masih lagi di dalam peringkat cadangan namun saya amat optimis agar ianya dapat diterjemahkan sejajar dengan slogan Lumadan Sejahtera,” katanya.