Ruslan dan isteri santuni pesakit di Hospital Beaufort

Beaufort : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Datuk Ruslan Muharam semalam hadir menyantuni para pesakit yang menerima rawatan di Hospital Beaufort.

Beliau yang diiringi isterinya Datin Nursiah Santri dan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Dewan Undangan Bahagian Lumadan itu disambut Pengarah Hospital Dr Sutharsan A/L Kannan.

Ruslan berkata, lawatan itu adalah bagi bertanya khabar pesakit yang berada di wad lekaki selain menyampaikan sumbangan sebagai tanda sokongan moral kepada pesakit yang menerima rawatan.

“Dikesempatan ini, saya dan isteri meraikan kakitangan wad hospital bahagian lelaki yang menyambut hari ulang tahun pada bulan Ogos ini.

“Saya dan isteri juga telah di bawa melawat Jabatan Radiologi Hospital Beaufort yang telah memulakan perkhidmatan Mesin Pengimbas Tomografi Berkomputer (Ct Scan),” katanya.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri turut diberikan taklimat mengenai CT Scan yang dapat membuat pelbagai pemeriksaan khusus.

Katanya, ia termasuklah CT Brain Perfusion untuk kes strok, CT Fluoroscopy untuk pengambilan sampel tisu (biopsy), CT Colonography untuk melihat imej 3D.

“Dengan adanya kelengkapan teknologi komputer yang terkini pada mesin CT Scan, dos radiasi dapat dikurangkan ke tahap yang paling minimum tanpa menjejaskan kualiti imej yang dibuat.

“Selain itu, dengan adanya kepakaran dan mesin CT Scan juga dapat menjimatkan masa menunggu janji temu dan yang penting mereka yang memerlukan rawatan CT Scan dapat menjimatkan masa dan kos (wang ringgit) tanpa perlu lagi ke Hospital Pakar Major di Kota Kinabalu.

“Hospital Beaufort sebelum ini tidak mempunyai kepakaran CT Scan dan kini Hospital Beaufort telah memiliki kepakaran CT Scan. Ct Scan dapat mengesan penyakit awal dan didiagnosis lebih awal seterusnya dapat memberikan rawatan sewajarnya dengan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Ruslan berkata, Hospital Beaufort telah diwartakan sebagai Hospital Pakar Minor dengan enam jenis perkhidmatan kepakaran telah ditawarkan dengan tujuh orang pakar penempatan tetap.

Katanya, ia juga merupakan satu peningkatan yang baik dalam memberi perkhidmatan kepada pesakit di pendalaman bawah khususnya di daerah Beaufort.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian oleh Hospital Beaufort memastikan agar seluruh masyarakat pendalaman bawah dapat menikmati ‘accessibility’ kepada perkhidmatan yang berkualiti tinggi.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pengarah hospital Beaufort dan warga kerja hospital Beaufort kerana sudi menerima kehadiran kami serta memberikan penerangan kepada kami mengenai CT Scan,” katanya.