PBBS cadang anjur ‘Adau Gayuh Bisaya’

Beaufort : Persatuan Bersatu Bisaya Sabah (PBBS) belum bercadang untuk melaksanakan Festival Kulintangan secara besar-besaran khususnya di peringkat negeri.

Presiden PBBS Datuk Ruslan Muharam berkata, pada masa ini pihaknya hanya menumpukan penganjuran festival di peringkat zon-zon seluruh negeri.

“Untuk mengadakan festival secara besar-besaran, kita belum putuskan di peringkat majlis tertinggi dan pada masa ini hanya di peringkat zon sahaja.

“Sebelum ini kita pernah juga melaksanakan festival di peringkat negeri pada era kepimpinan Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin yang pada ketika itu menjadi presiden dan pernah diiktiraf dalam Buku Rekod dimana telah mengadakan acara selama 24 jam tanpa henti, itu adalah sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Kulintangan di sini baru-baru ini.

Ruslan yang juga Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri berkata, pihaknya akan membawa perkara tersebut dalam kepimpinan PBBS agar program lebih besar dalam dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat di negeri ini.

“Selain festival kulintangan, PBBS juga pernah mengadakan sambutan perayaan Adau Janang Gayuh ketika presiden sebelum ini memimpin persatuan dan setelah kembalinya Allahyarham, gelaran Janang Gayuh itu belum lagi wujud sehingga kini.

“Jadi mungkin kita akan fikirkan satu festival lain dan mungkin kita boleh cadangkan laksanakan Adau Gayuh Bisaya atau maksudnya hari besar masyarakat Bisaya,” katanya.