KINARUT, PAPAR: Dua surau, iaitu surau Kampung Baru Luyang, Penampang dan Surau Sri Menanti, Kinarut menerima sumbangan RM300 daripada Presiden Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) dalam Ziarah Ramadan di kedua-dua surau tersebut, semalam.
Presiden PBBS, Datuk Ruslan Muharam berkata, ziarah di kedua-dua surau itu dilakukan bersama dengan komuniti masyarakat Bisaya yang telah lama menetap di kedua-dua kawasan itu.
“Kami mengambil ruang dan peluang di bulan Ramadan ini untuk menunaikan solat terwaih di Surau Kampung Baru Luyang bersama penduduk kampung.
“Seterusnya kami ke surau Sri Menanti, Kinarut menyantuni komuniti masyarakat Bisaya untuk bersama jamuan moreh di sini.
“Syukur alhamdulillah di atas nikmat yang Allah SWT berikan kerana dapat bertemu dan bersama dengan komuniti masyarakat Bisaya di dalam ziarah Ramadan,” katanya ketika ditemui pada ziarah Ramadan di sini, semalam.
Turut hadir bersama dalam ziarah kali ini adalah, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.
Tambah beliau, setiap bulan Ramadan, pihaknya akan menyantuni kedua-dua buah surau tersebut dalam melaksanakan ibadah terawih dan seterusnya dalam mengeratkan hubungan silaturahim dengan komuniti Bisaya di kedua-dua kawasan tersebut.
“Marilah sama-sama kita berazam dan bertekad untuk menggunakan malam-malam yang berbaki di bulan Ramadan ini dengan mengisinya dengan ketaatan dan ibadah kepada Allah SWT,” ujarnya.