AMK Beaufort serah sumbangan kepada anggota bomba

Beaufort: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Beaufort hari ini menyampaikan sumbangan berupa kurma dan minuman kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Beaufort dan Kuala Penyu.

Ketua AMK Beaufort Abdul Malik Abdul Ghani berkata, sumbangan itu adalah sebagai tanda penghargaan pihaknya kepada pasukan JBPM yang bertungkus-lumus memadan kebakaran hutan dan lalang pada ketika ini.

“Seperti kita tahu, daerah Beaufort banyak berlakunya kebakaran di hutan dan pasukan bomba telah berusaha sedaya upaya untuk memadamkan api agar tidak merebak ke tempat lain.

“Akibat daripada berlaku pembakaran ini, daerah Beaufort telah mengalami jerebu , dan dalam sehari dua ini hujan telah membasahi Beaufort sedikit sebanyak dapat mengurangkan jerebu,” katanya.

Kunjungan AMK itu turut diberi  penerangan mengenai keadaan kebakaran di Beaufort.

“Kita telah diberi tahu, bahawa keadaan pada kini terkawal dan berharap hujan akan terus turun membasahi kawasan Beaufort khususnya kawasan yang terlibat dengan pembakaran,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan berlakunya kebakaran.

“Saya berharap kepada masyarakat untuk membantu pihak bomba sekiranya terdapat sebarang kejadian pembakaran terbuka untuk mencegah dari menjadi kebakaran yang lebih teruk,” katanya.