30 sekolah di Penampang terima sumbangan bantuan awal persekolahan

Penampang:  Sebanyak 30 buah sekolah menengah, sekolah rendah dan sekolah pendidikan khas di bawah kelolaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Penampang menerima sumbangan bantuan awal persekolahan sejumlah RM265,000 daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, di Sekolah Kebangsaan (SK) St.Paul Kolopis, Penampang, di sini, hari ini.

Ewon berharap, sumbangan itu dapat membantu meringankan bebanan pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membantu pendidikan murid-murid sekolah masing-masing.

“Ini merupakan komitmen saya di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi untuk membawa perkhidmatan kementerian dan agensi-agensi serta organisasi yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya.

“Perkhidmatan itu harus sampai kepada rakyat di seluruh negara dan kita mulakan di Kota Belud kelmarin. Kita teruskan di Penampang pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis itu.

Ewon berkata, sumbangan yang sama juga telah diberikan kepada sekolah-sekolah di Penampang pada tahun lalu.

“Saya berharap tidak ada sekolah yang tercicir dalam pemberian sumbangan ini. Kita juga telah memberikan dana tambahan kepada sekolah-sekolah yang mempunyai pelajar pendidikan khas supaya murid-murid dan guru-guru yang bertugas dalam pendidikan khas dapat menerima manfaat yang sama,” katanya.

Beliau berkata, selain 10 agensi di bawah kementeriannya, YBR dan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) juga terletak di bawah kementerian itu melalui Institut Koperasi Malaysia (IKMa).

“Selaku menteri yang bertanggungjawab kepada universiti ini, saya menyeru pengetua-pengetua, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan guru-guru yang ingin melanjutkan pengajian peringkat master atau PhD dalam pentadbiran keusahawanan atau koperasi, bolehlah melanjutkan pengajian di UKKM,” katanya.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang, Pengerusi YBR Datuk Philip Lasimbang, Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani, Timbalan Pegawai Pendidikan Sektor Pemangunan Murid mewakili Pegawai Pendidikan Daerah Penampang Robert John, pengetua-pengetua dan guru-guru besar.