
9 KIR mangsa kebakaran rumah terima sumbangan dari Pusat Zakat Sabah

BEAUFORT: 9 Ketua Isi Rumah (KIR) yang menjadi mangsa kebakaran rumah di Kampung Bakalau pada tiga minggu lepas menerima sumbangan wang zakat daripada Pusat Zakat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) hari ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam di Masjid Al-Amin Kampung Bakalau, pagi tadi.
Beliau berkata, pembahagian Pusat Zakat ini adalah kepada mereka yang tergolong rakan asnaf dan mereka juga yang mendapat musibah ini akan mendapat agihan zakat ini.
“Kita telah pun melihat dalam keadaan kebakaran tersebut, mereka mungkin tinggal mempunyai sehelai sepinggang pakaian dan ini juga mendorong kita membantu daripada Pusat Zakat Sabah.
“Hari ini pula kita mula menunaikan ibadah puasa dan mungkin kita dapat meringankan sedikit bebanan mereka dalam situasi mereka berhadapan musibah kebakaran rumah,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
Tambah beliau, turut sama menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran adalah, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Klias, Matjun Mathon yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.32 Klias, Datuk Isnin Aliasnih, pegawai Pusat Zakat Sabah bahagian Beaufort serta para pemimpin masyarakat setempat.
“Juga Jabatan Kebajikan Daerah Beaufort, orang perseorangan dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) telah pun sudi untuk memberi sumbangan, bukan saja dari segi kewangan tetapi juga pakaian dan makanan,” katanya.