Kerajaan GRS berjaya corak perpaduan, pembangunan lebih baik

Beaufort : Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berjaya mencorak perpaduan dan pembangunan lebih baik di negeri ini berbanding Kerajaan sebelum ini.

 

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, rakyat juga dilihat telah menerima kerajaan GRS yang banyak memberi bantuan selain inisiatif berguna khususnya dalam pendidikan dan pelbagai perkara lain.

 

“Kita lihat Kerajaan GRS bersama PH plus yang dipimpin Ketua Menteri pada hari ini adalah satu kerajaan yang kukuh dan penerimaan rakyat kepada GRS juga amat kuat.

 

“Ketelusan Ketua Menteri dalam mentadbir negeri selain membawa pembangunan kepada Sabah juga sangat dihargai oleh rakyat walaupun ada suara-suara sumbang, itu perkara biasa bagi pihak sebelah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program santai muhibbah di Dewan Bangkalalak di sini semalam.

 

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, kepimpinan Ketua Menteri juga telah banyak mencorakkan perpaduan di dalam jalangan parti-parti GRS.

 

Katanya, ia termasuklah pelantikan jawatan semua kepimpinan dalam parti politik GRS.

 

“Selain itu, beliau turut menggariskan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah pun dinikmati rakyat dalam pelbagai perkara terutama dalam bidang pendidikan.

 

“Begitu juga dengan infrastuktur dan kebajikan seperti mana yang sudah kita lihat di Lumadan ini.  Dalam tempoh dua hingga tiga tahun, antara isu yang sudah dapat kita selesaikan termasuklah air bersih dan talian internet,” katanya.